Perkasakan aplikasi untuk jejak asnaf - Dr Zulkifli


Kuala Lumpur: Kerajaan berhasrat memperkasakan aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MoJA) seperti MySejahtera bagi memudahkan dan mempercepatkan proses menyantuni golongan memerlukan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ketika ini aplikasi MoJA yang dilancarkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Jun lalu, menunjukkan keberkesanan dengan membantu menyelesaikan 64 kes daripada 102 aduan yang diterima daripada orang ramai.

Katanya, beliau menyasarkan 70 hingga 80 peratus penyelesaian daripada antara 100 hingga 200 jumlah keseluruhan kes diterima dalam tempoh sebulan.

"Buat masa ini (penggunaannya) terhad kepada Wilayah Persekutuan saja kerana ia inisiatif daripada MAIWP, tetapi kita tetap meraikan (membantu) kalau mereka umpamanya tersangkut di Kuala Lumpur yang memerlukan bantuan.

"Saya bercadang Insya-Allah, kami mahu cuba buat kolaborasi dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Wilayah Persekutuan mahupun Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya data lebih jelas, tersusun, teratur serta tindakan bersama boleh diambil dengan lebih bersifat selaras," katanya selepas menziarahi pelakon dan penyanyi era 1960-an, Aminah Ismail atau Mimi Loma di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Akbar Samon serta Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) Datuk Tomiran Mohd Kasdi.

Dr Zulkifli berkata, perbincangan lebih lanjut akan dilakukan bersama pihak berkuasa agama negeri bagi berkongsi keberkesanan penggunaan aplikasi berkenaan.

"Aplikasi ini kami boleh bentangkan dalam pertemuan dengan pihak Exco kerajaan negeri dan pengarah berkaitan dengan majlis agama Islam, mungkin selepas itu masing-masing akan ada inisiatif dan insya-Allah kami akan berbincang dan tunjuk hasil MoJA untuk bersama menyantuni mereka (golongan memerlukan).

"Kita nampak ada peningkatan (manfaat) cuma keperluan kita menggerakkan dan sebar luaskan lagi (penggunaannya) supaya nampak macam aplikasi MySejahtera dan seumpamanya. Ini pun kita harap (realisasi)," katanya.

Aplikasi MoJA diwujudkan bagi memudahkan orang ramai membuat laporan kepada MAIWP tentang mereka yang dalam kesusahan.